Kenapa perlu melompat atau melatah apabila kita ingin menukar pendirian kita. Adakah dengan sedikit imbuhan dunia kita akan dikenang sebagai hero atau pembela nasib rakyat. Selain kita tidak amanah dan jujur dengan diri kita, sebenarnya kita telah menonjolkan siapa diri kita sebenarnya. Dengan berbagai alasan yang dikeluarkan untuk menunjukkan kebenaran kita disamping menyalahkan dan menjatuhkan maruah orang lain, kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa sebenarnya selama ini itulah diri kita sebenarnya. Lebih banyak kita berbicara dan menonjol maka terserlahlah keburukkan diri kita yang sebenar. Kita menunjukkan kesalahan orang lain yang sepatutnya kitalah yang mendokong dan memperbaikinya kerana kita adalah sebahagian daripada mereka. Jika mereka itu bersalah atau tidak bertanggungjawab maka siasatlah mereka dan kemudian hukumlah mereka supaya parti akan terus kukuh dan berjaya. Kenapa kita harus membunuh diri dan menghukum diri sendiri kemudian kita menyalahkan mereka. Bijakkah kita apabila kita masuk ke mulut buaya dengan mendakwa bahawa kita beru sahaja keluar dari mulut harimau. Siapa yang untung?
Adakah kita benar-benar berjuang untuk keadilan, kesaksamaan, menghapuskan penyalahgunaan kuasa, menghapuskan rasuah dan berkhidmat untuk rakyat demi membina negara yang membangun dan rakyat yang maju dengan lebih bertanggungjawab. Apa yang telah kita lakukan selama ini setelah menjadi wakil rakyat yang dipilh oleh rakyat. Jika kita tidak berdaya maka pohonlah bantuan parti dan kerajaan untuk kepentingan rakyat di kawasan kita. Kenapa perlu melompat dan melatah. Di manakah silap kita?
Dari pemerhatian dan pandangan masyarakat, kesilapan yang terjadi adalah kerana wakil rakyat yang terpilih kebanyakkannya adalah terdiri dari mereka yang tidak layak, tidak bertanggungjawab, belum bersedia, phobia dengan kemenangan dan sepatutnya tidak menang. Mereka bertanding hanya untuk memenuhi permintaan parti dan bukannya dengan sifat dan rasa bertanggungjawab. Sepatutnya mereka harus sedar dengan kemahuan dan kehendak rakyat yang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada mereka. Mereka harus dan wajib berkhidmat dengan sebaik mungkin dengan meletakkan tanda aras pemimpin terdahulu sebagai asas dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik daripada itu. Mereka perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin untuk menghasil keputusan yang terbaik demi kepuasan dan kenikmatan hidup rakyat. Jika mereka tidak mampu untuk berkhidmat dengan lebih baik maka sepatutnya mereka menyerahkan semula mandat tersebut kepada rakyat untuk membuat pilihan baru. Bukannya dengan menggadaikan maruah demi keuntungan dunia yang sementara.
Rakyat dapat memaafkan pemimpin yang mengaku kelemahan dan kesilapan mereka tetapi tidak kepada yang mengambil kesempatan dan menjual maruah diri. Walau setinggi mana pun bayaran yang dibuat untuk mereka maka ianya akan tetap tidak cukup kerana perasuah tidak pernah cukup dengan apa yang dapat. Ia juga sama sepeti kita bermain judi kerana kemenangan sementara yang kita dapat atau menang adalah bersifat sementara dan akhirnya kita akan hilang segala-galanya.
Apabila kita telah mati hanya tiga perkara yang akan membantu kita di alam barzah iaitu doa dari anak yang soleh, sedekah yang di telah keluarkan ke jalan Allah dari pendapatan yang halal seperti untuk membina masjid yang masih digunakan dan ilmu yang telah dicurahkan dan masih diamalkan oleh mereka yang masih hidup.
No comments:
Post a Comment