1Malaysia - Rakyat didahulukan untuk kepentingan dan kesenangan rakyat.

Rakyat yang memilih pemimpin dan pemimpin berkhidmat untuk rakyat dengan imbuhan tertentu. Jangan hilangkan kepercayaan rakyat dengan mempersendakan dan mempermainkan amanah yang telah diberikan.

Walaupun dalam hierachy rakyat duduknya dibawah sekali tetapi sebenarnya merekalah yang menentukan segalanya. Kebenarannya adalah setiap lima tahun pemimpin akan mula berkempen untuk memenangi hati rakyat supaya diberi mandat untuk mereka berkhidmat untuk rakyat.

Friday, March 5, 2010

Tanggungjawab dan bertanggungjawab

Setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing dalam membentuk dan menentukan masa depan negara kita. Samada kita berpeluk tubuh atau bertindak agresif atau sebagai pak turut sebenarnya itulah peranan yang sedang kita mainkan. Keseluruhannya sistem sudah ada cuma perlaksanaannya sahaja yang perlu dikemaskinikan dan ditambahbaikkan sesuai dengan kehendak dan aspirasi rakyat.

Apa yang rakyat hendak dan mahukan itulah yang sepatutnya didahulukan. Pemimpin sepatutnya bertindak dan laksanakan mengikut apa yang telah mereka janjikan semasa berkehendakkan mandat rakyat. Bukannya mengaut keuntungan untuk kepentingan diri sesuka hati sehingga lupa diri dan mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat.

Para pemimpin sebenarnya melalui beberapa tapisan sebelum dapat menawarkan diri bertanding mewakili rakyat. Pertama perlulah mendapat sokongan para ahli parti untuk mencadangkan beliau sebagai pemimpin parti dan kemudian memilihnya sebagai salah seorang daripada pemimpin parti tersebut. Kemudian pemimpin atasan akan menentukan siapa yang layak dikalangan pemimpin parti untuk bertanding mewakili parti tersebut. Di sini pemimpin tersebut adalah sebagai wakil parti dan dirinya, menawarkan diri untuk bertanding di kawasan tersebut. Rakyat dikawasan tersebut yang mempunyai parti atau tidak tetapi semestinya tinggal di situ berhak menentukan individu mana dan parti mana yang mereka pilih untuk mewakili mereka bagi kawasan tersebut. Kemenangan calun dan parti walau dengan satu undi yang telah disahkan adalah wakil kepada kawasan tersebut dan perlulah mewakili semua penduduk di kawasan itu. Mereka tidak tahu siapa yang memilih dan tidak mengundi mereka kerana ianya adalah rahsia tetapi majoritinya membuatkan mereka menang dan dengan sendirinya pemimpin tersebut perlu mewakili kesemua rakyat bagi kawasan tersebut. Mereka perlu bertindak adil dan saksama kepada semua dan bukannya hanya kepada ahli partinya sahaja. Mereka juga tidak berhak untuk mengkhianati amanah rakyat terutamanya lari daripada tanggungjawab atau mementingkan diri sendiri.

Terdapat kekeliruan bagaimana wakil rakyat tersebut akan bertindak atau menjalankan tugas. Samada mengutamakan rakyat yang diwakilinya, partinya atau pemimpin atasannya. Semuanya telah bertanggungjawab menjadikannya pemimpin. Sebagai wakil rakyat, beliau bertanggungjawab terhadap rakyat dikawasannya. Oleh itu beliau perlu menjalankan tanggungjawab beliau kepada rakyat di kawasan tersebut dengan berkhidmat untuk mereka. Sebagai pemimpin parti pula beliau perlu bertanggungjawab kepada parti dan ahli partinya. Beliau perlu memastikan parti dan ahlinya terus kukuh dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Disamping itu beliau juga bertanggungjawab terhadap pemimpin atasannya dengan menjalankan arahan dan tanggungjawab parti dengan sebaik mungkin.

Berpolitik dengan cara berparti semestinya mempunyai aturan dan sistem yang kompleks kerana suara majoriti memainkan peranan penting dalam pemilihan dan membuat keputusan awal tetapi akhirnya kuasa tersebut akan berpindak kepada pemimpin atasan sahaja dimana semua hal akan ditentukan oleh pemimpin. Tetapi perlu diperhalusi dan difahami bahawa pucuk pangkal dan asas perjuangan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya kepada pemimpin dan parti. Pemimpin atasan juga perlu berkhidmat untuk rakyat dan bukannya untuk diri sendiri kerana beliau juga dipilih rakyat.

Amanah, jujur, bertanggungjawab, menepati janji dan masa, berani menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran serta menjaga kepentingan rakyat, negara dan agama adalah antara sifat-sifat yang perlu ada kepada pemimpin yang baik. Beriman dan beramal soleh serta taqwa adalah sifat terpuji bagi pemimpin yang beragama Islam.

Membina negara sama seperti kita meruntuhkannya kerana kesannya akan dapat dirasa dalam jangkamasa panjang. Kita boleh mencipta sejarah dan mengubahnya mengikut cita rasa kita tetapi kegagalan dan kerosakkan yang kita lakukan atau berlaku akan tetap dipertanggungjawabkan ke atas kita. Warisan dan generasi masa depan akan menilai dan menghukum kita atas apa yang telah kita lakukan dan tinggalkan untuk mereka.

No comments:

Post a Comment

Hidupkan demokrasi rakyat.

Puliharalah kepercayaan rakyat terhadap pemimpin demi demokrasi rakyat dari rakyat untuk rakyat.